Ahad, 15 Julai 2012

Pendekatan Situasi dalam Pengajaran Kemahiran Bertutur


Pendekatan Situasi
Pendekatan situasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang diperkenalkan oleh Mackey (1965), antara lain menegaskan bahawa pernyataan lisan itu merangkumi semua unsur kefahaman mendengar dan penggunaan unsur-unsur bunyi bahasa yang betul dalam pola, nada dan intonasi tertentu. Pernyataan lisan ini juga meliputi aspek pemilihan kata-kata dan unsur-unsur infleksi yang disusun dengan betul supaya tergambar juga makna-makna yang betul mengenainya.  Tegasnya, pendekatan situasi yang berlandaskan teori struktural dan teori pembelajaran behaviouris yang beranggapan bahawa untuk membolehkan seseorang itu menguasai kemahiran lisan (khasnya bertutur), terlebih dahulu beberapa kemahiran asas yang lain perlu dikuasai terlebih dahulu. Antara lain, menguasai kemahiran membuat tanggapan, mengingat, membunyikan perkataan dan juga aspek struktur bahasa berkenaan. Hal ini demikian kerana melaluinya aspek penggunaan dan penguasaan bahasa secara lisan dapat diperbaik dari semasa ke semasa.  Dengan demikian, pendekatan situasi mestilah berlandaskan prinsip pengajaran berikut:
(a)              Guru perlu memberi peneguhan kepada setiap satu gerak balas murid yang betul supaya gerak balas itu diulangi lagi;
(b)              Murid mesti dilatih bertutur dengan menggunakan unsur-unsur bahasa yang digunakan oleh masyarakat;
(c)              Guru perlu memahami proses yang terlibat dalam pertuturan supaya dia dapat memandu dan melatih murid-murid menggunakan alat-alat pertuturan mereka serta dapat menyebut bunyi dan struktur bahasa dengan betul;
(d)              Pengajaran bertutur perlu dimulakan dari peringkat awal pengajaran bahasa untuk mendorong minat murid-murid belajar bahasa. Jika pengajaran kemahiran bertutur ini diajar pada peringkat lanjutan, iaitu setelah murid  menguasai bahasa tulisan, keupayaan murid-murid bertutur dengan menggunakan bahasa yang betul akan terganggu. Hal ini deemikian kerana murid telahpun membentuk kelaziman sebutan bahasa yang salah;
(e)              Penggunaan pita rakaman dapat membantu guru-guru melatih tubi murid-murid dalam latihan bertutur;
(f)                Kelaziman bertutur dalam sesuatu bahasa berbeza.  Apabila murid-murid mempelajari bahasa kedua, guru tidak boleh membiarkan mereka menghasilkan sebutan-sebutan bahasa sasaran secara automatik.  Sebaliknya, guru perlu memandu murid-murid secara sedar (melalui aktiviti latih tubi) menggunakan alat-alat pertuturan mereka bagi menghasilkan sebutan-sebutan bahasa yang baru mereka pelajari itu;
(g)             Bagi penutur-penutur bahasa kedua, kelaziman-kelaziman bahasa pertama mereka akan mengganggu pembentukan kelaziman bahasa yang baru.  Oleh itu, guru perlu melatih tubi murid-murid tersebut supaya dapat menghasilkan sebutan-sebutan yang betul.

Walau bagaimanapun Walkins (1975), berpendapat murid sukar memindahkan pengetahuan kemahiran bertutur yang dipelajari dalam bilik darjah kepada penggunaan dalam kehidupan seharian.  Hal ini demikian kerana guru biasanya begitu menentukan bahasa yang perlu dihasilkan oleh murid-murid.  Tujuannya, guru ingin membantu murid-murid memilih bahasa untuk digunakan dalam situasi tertentu.   Maka, sebenarnya pembelajaran bahasa perlu berdasarkan kepada pengalaman yang sedia ada dalam kalangan murid-murid dalam kehidupan harian mereka.  Sekiranya semua hasilan bahasa dikawal oleh faktor luaran, misalnya oleh guru, maka murid tidak mempunyai pengalaman untuk menguasai kecekapan bahasa mereka secara bersendirian.  Ini bermakna murid tidak mampu memindahkan kemahiran bertutur yang diperoleh melalui situasi pembelajaran bahasa di dalam bilik darjah untuk digunakan dalam situasi penggunaan bahasa yang sebenarnya dalam kalangan masyarakat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan