Jumaat, 13 Julai 2012

Antara Kata Sendi Nama dengan Awalan



Pedoman Bahasa: Antara Kata Sendi Nama dengan Awalan
[Bersama Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim]
Banyak orang keliru antara bentuk ke rumah dengan ketua. Kebanyakan mereka bertanya, mengapa ke rumah dieja dengan ‘ke’ terpisah daripada rumah tetapi dalam perkataan ketua, ‘ke’ dieja bercantum? Mereka juga keliru tentang ‘di’ dalam perkataan di sana yang dieja terpisah, sedangkan ‘di’ dalam perkataan diambil dieja bercantum.

Sebenarnya perbezaan timbul disebabkan perbezaan golongan kata. ‘Ke’ dalam ke sana dan ‘di’ dalam di sana ialah kata sendi nama, walhal ke- dalam ketua dan di- dalam diambil ialah awalan. Ini bermakna terdapat dua bentuk 'di' dan dua bentuk 'ke'.

Ibaratkan terdapat dua orang yang bernama Zainab. Nama mereka sama. Tetapi satu Zainab anak Encik Ismail (Zainab binti Ismail), manakala Zainab yang satu lagi anak Encik Ahmad (Zainab binti Ahmad). Walaupun nama mereka sama, mereka individu yang berlainan, dengan sifat-sifat yang berlainan.

Demikian juga halnya dengan kata sendi nama ‘di’ dan ‘ke’, dan awalan di- dan ke-. ‘Di’ sebagai kata sendi nama tidak sama dengan di- sebagai awalan, dan ‘ke’ sebagai kata sendi nama tidak sama dengan ke- sebagai awalan. Sudah tentu dari segi ejaan terdapat perbezaan. Yang berstatus kata sendi nama dapat berdiri sendiri dan dianggap sebagai satu perkataan, iaitu ‘di’ dan ‘ke’. Tetapi awalan tidak boleh berdiri sendiri dan, oleh itu, penulisannya dibubuh tanda sempang, yakni di- dan ke-.

Mengikut buku Tatabahasa Dewan, kata sendi nama ialah perkataan yang berfungsi sebagai kata depan sesuatu perkataan atau sekumpulan perkataan yang tergolong sebagai kata nama atau frasa nama. Contoh beberapa kata sendi nama ialah: di, ke, dari, daripada, sejak, untuk, dan demi.

Seperti yang telah diterangkan, kata sendi nama dapat berdiri sendiri, iaitu tidak bergantung pada mana-mana perkataan lain, dan dieja terpisah daripada perkataan yang mengikutinya, contohnya: di rumah, ke sekolah, dari Ipoh, daripada ibu, sejak pagi hari, untuk anak bongsunya, dan demi negara dan bangsa. Kata sendi nama tidak boleh dieja bercantum dengan perkataan yang mengikutinya. Oleh itu, bentuk-bentuk berikut adalah salah: *disana, *kerumah, *demibangsa.

Awalan pula ialah bentuk imbuhan yang hadir di awal perkataan, misalnya me-, ber-, ter-, di-, juru- dan pra-. Awalan tidak dapat berdiri sendiri, sebaliknya dieja bercantum dengan kata dasar, misalnya menari, berjalan, terambil, ketua dan dibaca.

Oleh itu, awalan tidak boleh dieja terpisah daripada perkataan yang mengikutnya, seperti *me na ri, *ber jalan, *ke tua, dan * di baca. Maka, adalah salah jika dieja *juru jual, *pra sejarah, dan *pra syarat, kerana juru- dan pra- merupakan kata awalan dan mesti dieja bercantum dengan perkataan yang mengikutinya (jururawat, jurujual, prasejarah dan prasyarat).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan