Frasa Adverba?
Oleh
MUHAMMED SALLEHUDIN AMAN
Sejak
bertambah subjenis kata tugas, iaitu kata adverba timbul pendapat yang
mengatakan wujud pula permasalahan bahasa yang baharu. Huraian kata adverba
bahasa Melayu terkandung dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga terbitan
tahun 2008.
Adakah
pendapat ini benar? Untuk menjawab persoalan ini, moleklah kiranya difahami
tentang kata adverba itu.
Kata
adverba ialah perkataan yang menerangkan kata kerja, kata adjektif, kata nama,
dan frasa sendi nama dari aspek cara, masa dan tempat. Contoh penggunaannya
dalam ayat adalah seperti yang berikut:
1.
Pengetua sering kali menasihati kami.
2.
Keluarga kami akan datang hari esok.
3.
Pak Limat sihat sentiasa.
4.
Encik Lim kadang-kadang ke bandar raya.
Sering
kali, esok, sentiasa, dan kadang-kadang dalam ayat 1 – 4 tergolong dalam kata
adverba jati. (Dalam bahasa Melayu, ada empat golongan kata adverba, iaitu
adverba jati, adverba yang asalnya daripada kata kerja, adverba yang asalnya
daripada kata adjektif, dan adverba ganda). Kata adverba sering kali
menerangkan kata kerja “menasihati”, esok menerangkan kata nama “hari”,
sentiasa menerangkan kata adjektif “sihat”, dan kadang-kadang menerangkan frasa
sendi nama “ke bandar raya”.
Kita
begitu mudah mengenal pasti pembahagian binaan subjek dan predikat ayat seperti
pemenggalan yang berikut ini:
1.
Pengetua / sering kali menasihati kami.
2.
Keluarga kami / datang hari esok.
3.
Pak Limat / sihat sentiasa.
4.
Encik Lim / kadang-kadang ke bandar raya.
Subjek
ayat 1, 2, 3 dan 4 ialah “Pengetua”, “Keluarga kami”, “Pak Limat”, dan “Encik
Lim”; manakala predikat keempat-empat ayat itu pula ialah “sering kali
menasihati kami”, “datang hari esok”, “sihat sentiasa”, dan “kadang-kadang ke
bandar raya”. Keempat-empat ayat contoh yang tersebut itu mempunyai pola ayat
dasar FN + FK (ayat 1), FN + FK (ayat 2), FN + FA (ayat 3) dan FN + FSN (ayat
4).
Kata
adverba tidak dianggap sebagai golongan kata utama bahasa Melayu, kerana tidak
boleh menjadi unsur inti kepada konstituen frasa predikat, seperti halnya
dengan kata nama, kata kerja, dan kata adjektif. Kata ini hanya berfungsi
sebagai keterangan. Oleh hal yang demikian itu, tidak wujud frasa adverba (F
Adv) sebagai frasa utama binaan ayat bahasa Melayu. Frasa utama yang ada
hanyalah FN, FK, FA dan FSN, dan semua frasa ini dapat menjadi unsur inti
kepada konstituen frasa predikat.
Jadi,
bagaimana pula tentang hal kegramatisan ayat-ayat contoh yang berikut ini, yang
sering kita dengar dituturkan atau ditulis:
5.
Perkahwinannya / esok.
6.
Tingkah lakunya / begitu.
7.
Hal ini / demikian.
Predikat
ayat 5 – 7 terdiri daripada kata adverba esok, begitu, dan demikian.
Ketiga-tiga ayat yang tersebut itu, seolah-olah beracuan pola *FN + F Adverba
yang tidak ada dalam pola ayat dasar bahasa Melayu, selain empat pola yang
telah dihuraikan tadi. Oleh sebab tidak ada pola FN + F Adverba, maka pastilah
ayat-ayat 5 – 7 itu salah tatabahasanya, kerana mana mungkin kata adverba dapat
berfungsi sebagai predikat.
Sebenarnya,
ayat-ayat tersebut, yang kelihatan mengandungi kata adverba yang berfungsi
sebagai predikat, merupakan ayat minimal. Ayat minimal bermaksud ayat yang ada
bahagiannya telah digugurkan kerana dipengaruhi oleh bahasa lisan atau bahasa
basahan.
Ayat
penuh bagi ayat-ayat minimal di atas adalah seperti dalam 5 (a) – 7 (a) yang
berikut:
5.
(a) Perkahwinannya / pada hari esok.
6.
(a) Tingkah lakunya / secara begitu.
7.
(a) Hal ini / secara demikian.
Dalam
ayat penuh 5 (a) kata adverba esok menerangkan frasa sendi nama “pada hari”,
dalam ayat penuh 6 (a) kata adverba begitu menerangkan frasa nama “secara” dan
dalam ayat penuh 7 (a) kata adverba demikian menerangkan frasa nama “secara”,
yang menunjukkan bahawa kata adverba sahaja tidak boleh menjadi unsur inti bagi
predikat melainkan didahului oleh sesuatu frasa utama.
Sehubungan
dengan itu, ayat majmuk keterangan yang sering kita gunakan seperti “Hal ini
demikian kerana ...” menjadi tidak baku kerana kata adverba demikian menjadi
inti predikat sebagai frasa adverba. Oleh yang demikian, ayat penuhnya haruslah
berbunyi atau ditulis sebagai “Hal ini secara demikian kerana ...”, baharulah
ayat ini kelihatan baku (gramatis), yakni tidak terpengaruh oleh sebarang
bentuk bahasa lisan (tidak baku).
Jelaslah
bahawa kegramatisan ayat terletak pada kesempurnaan binaan ayat yang
mengandungi unsur-unsur yang wajar ada pada setiap binaan ayat. Dengan hal yang
demikian baharulah kepersisan sesuatu ayat terpelihara.
Demikian
huraian bahawa tidak wujud frasa adverba dalam binaan predikat ayat bahasa
Melayu. Semoga huraian ringkas ini dapat menyelesaikan masalah bahasa yang
berkaitan dengan kata adverba bahasa Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan