Jumaat, 13 Julai 2012

Istirehat atau istirahat?


Istirehat atau Istirahat?
[Oleh Normala Mohamad Yusof]
EJAAN manakah yang betul? Adakah "istirehat" atau "istirahat"? Menurut Kamus Dewan edisi keempat, "istirahat" bermaksud keadaan atau suasana santai.

Premis "Tempat Istirahat" yang menggunakan ejaan yang betul ini terletak di Jalan Chow Kit, manakala "Pusat Istirehat Peach Girl Karaoke" pula terletak di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

Anehnya, premis yang menggunakah nama "Tempat Istirahat" itu dipadankan daripada bahasa Inggeris "Health Spa". "Health Spa" bukannya tempat istirahat seperti "lounge" tetapi ialah tempat untuk mendapatkan rawatan khusus untuk meningkatkan tahap kesihatan. Oleh itu nama yang sesuai bagi premis ini ialah "Pusat Spa".

"Pusat Istirehat Peach Girl Karaoke" walaupun hampir sama dengan makna "lounge", iaitu tempat orang beristirahat, tetapi di "lounge" atau ruang istirahat, orang tidak berkaraoke. Di hotel-hotel besar misalnya, kalau mereka menyediakan hiburan di ruang istirahat sekalipun, dalam suasana santai melalui nyanyian lagu-lagu sentimental yang menenangkan dengan iringan organ atau piano tetapi tidak dengan berkaraoke yang membingitkan.

Sebenarnya tempat ini lebih sesuai dinamai "Pusat Karaoke Peach Girl", walaupun pemilihan perkataan "Peach Girl" itu boleh dipertikaikan.

Adakah nama ini melambangkan layanan gadis-gadis montok berpipi merah?

Persoalannya mengapakah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), iaitu Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan perkara ini berlaku? Bukankah setiap papan tanda atau iklan yang hendak dipaparkan di bandar raya ini perlu mendapatkan pengesahan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebelum DBKL memberi kelulusan untuk dinaikkan?

Oleh hal yang demikian, semua PBT seharusnya peka dengan penggunaan bahasa yang betul pada papan tanda bangunan di kawasan mereka. Mereka seharusnya merujuk DBP terlebih dahulu sebelum meluluskan sebarang permohonan.
Bahasa kebangsaan kita tanggungjawab kita, bersama-samalah kita memartabatkannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan