Adjektif atau Adverba?
Oleh
MUHAMMED SALLEHUDIN AMAN
KATA
adjektif merupakan salah satu golongan kata utama dalam bahasa Melayu. Golongan
kata yang lain ialah kata nama, kata kerja, dan kata tugas.
Kata
adjektif yang juga dikenal sebagai kata sifat, ialah perkataan yang menjadi
unsur inti dalam binaan frasa adjektif. Frasa adjektif itu boleh terdiri
daripada hanya satu kata atau binaan beberapa perkataan yang mengandungi kata
adjektif dan unsur-unsur keterangan yang lain, seperti kata bantu atau kata penguat.
Oleh itu, kata adjektif dapat dikenal pasti dengan cirinya yang boleh didahului
atau diikuti oleh kata penguat. Contohnya: amat manis, manis sungguh, sangat
lain, dan lain sekali.
Kata
amat, sungguh, sangat dan sekali ialah kata penguat yang boleh hadir di hadapan
atau di belakang kata adjektif dan frasa adjektif. Kata adjektif dalam frasa
adjektif tersebut ialah manis (amat manis, manis sungguh), dan lain (sangat
lain dan lain sekali).
Dalam
ayat, kata adjektif menerangkan keadaan atau sifat sesuatu kata nama atau
sesuatu frasa nama. Dengan kata lain, kata adjektif hadir di belakang
kata/frasa nama dalam binaan frasa adjektif. Misalnya, dalam frasa angin
kencang, kebaya labuh dan mi segera, kata adjektif kencang, labuh dan segera
berada di belakang kata nama, dan menerangkan kata nama angin, kebaya dan mi.
Kata
adverba bukan satu daripada golongan kata utama yang sama tarafnya dengan
golongan kata nama, kata kerja dan kata adjektif. Kata ini merupakan bahagian
atau salah satu jenis golongan kata tugas. Kata tugas bahasa Melayu mempunyai
17 jenis, dan selain kata adverba termasuklah kata hubung, kata sendi, kata
seru, kata bantu, kata penguat dan kata arah.
Kata
adverba ditakrifkan sebagai perkataan yang menerangkan kata kerja, kata
adjektif, kata nama dan frasa sendi nama dari segi cara, masa dan tempat.
Fungsinya ini berbeza dengan fungsi kata adjektif yang menerangkan kata nama
dan frasa nama. Telitilah ayat-ayat contoh yang berikut ini:
1.
Kami kadang-kadang membincangkan hal itu.
2.
Mereka begitu mahir dalam bidang komputer.
3.
Pegawai baharu itu dijangka tiba pada hari esok.
4.
Dia sering kali ke Beijing sejak suaminya berada di sana.
Kata
adverba kadang-kadang menerangkan kata kerja membincangkan, kata adverba begitu
menerangkan kata adjektif mahir, kata adverba esok menerangkan kata nama hari
dan sering kali menerangkan frasa sendi nama ke Beijing.
Dalam
bahasa Melayu, ada empat bentuk kata adverba, iaitu kata adverba jati (sering,
kadang-kadang, saling, begitu), adverba yang asalnya daripada kata adjektif
(kencang, kuat, hampir, kurang), kata adverba yang asalnya daripada kata kerja
(berkilat, berseri, menyala, membisu), dan kata adverba ganda (betul-betul,
sekali-kali, berdikit-dikit, kecil-kecilan). Penggunaannya dalam ayat adalah
seperti yang berikut:
5.
Kenalan rapat Kernil Singh bernama Hardeep Kaur.
6.
Padi yang ditanam rapat tidak dapat beranak banyak.
7.
Suara pegawai tentera itu garau.
8.
Pegawai tentera itu bersuara garau.
9.
Tali itu panjang.
10.
Aiman sudah besar panjang.
11.
Kami makan mi segera.
12.
Penghidap H1N1 dinasihati ke hospital segera.
Dari
segi penggolongan kata, rapat, garau, panjang dan segera dalam ayat 5 – 12
ialah kata adjektif. Kata rapat, garau, panjang dan segera dalam ayat 5, 7, 9
dan 11 berfungsi sebagai kata adjektif kerana menerangkan kata nama kenalan
(ayat 5), kata nama suara (ayat 7), kata nama tali (ayat 9), dan kata nama mi
(ayat 11).
Dalam
ayat 6, 8, 10 dan 12 pula, kata adjektif rapat, garau, panjang dan segera bukan
bertindak sebagai penerang kata nama, tetapi masing-masing menerangkan kata
kerja ditanam (ayat 6), kata kerja bersuara (ayat 8), menerangkan kata adjektif
panjang (ayat 10), dan menerangkan frasa sendi nama ke hospital (ayat 12).
Berdasarkan
ayat 5 – 12 di atas, ketaralah kata adjektif, selain berfungsi sebagai kata
adjektif, dapat juga berfungsi sebagai kata adverba bagi tujuan untuk
menerangkan kata kerja, kata adjektif dan frasa sendi nama.
Demikian
huraian tentang dwifungsi kata adjektif dalam ayat bahasa Melayu. Oleh itu,
berhati-hatilah anda menggunakan kata adjektif sebagai kata adjektif, dan kata
adjektif yang berfungsi sebagai kata adverba.
Terima kasih!
BalasPadam