Jumaat, 13 Julai 2012

Kata Hubung Berpasangan dan Perkataan "justeru"


Pedoman Bahasa: Penggunaan Kata Hubung Berpasangan dan Perkataan "justeru"
[Bersama Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim]
Banyak juga para pembaca yang bertanya mengenai penggunaan kata hubung berpasangan dan perkataan “justeru”. Oleh itu, elok juga digunakan ruangan ini untuk memberikan sedikit penjelasan.

Kata hubung berpasangan ialah kata hubung yang hadir dalam ayat majmuk gabungan yang terdiri daripada sepasang perkataan. Satu kata hubung hadir di bahagian hadapan ayat, yakni dalam ayat pertama, manakala yang kedua hadir kemudian dalam ayat kedua. Contohnya ialah pasangan “lebih baik...daripada” dalam ayat “Lebih baik mereka pergi dengan bas daripada memandu kereta sendiri.”

Lazimnya makna yang dibawa membawa maksud yang bertentangan. Contoh ayat kedua ialah “Daripada kita makan gaji, lebih baik bekerja sendiri.”

Seterusnya ialah pasangan “sama ada ... atau”, seperti dalam ayat “Sama ada berita itu benar atau tidak belum pasti,” dan “Dia belum menyatakan sama ada akan meneruskan perjalanan atau bermalam di sini.”

Contoh kata hubung pasangan yang ketiga ialah “adakah/apakah ... atau (pun)”, seperti dalam ayat ini: “Adakah berita ini benar atau (pun) khabar angin semata-mata?”

Kesimpulannya, kata hubung berpasangan ini ialah kata hubung dalam ayat majmuk gabungan. Fungsinya menggabungkan dua ayat yang setara sifatnya, dan maksud yang dibawa lazimnya berbentuk pertentangan.

Ada juga ayat yang digabungkan dengan kata hubung seperti “walaupun”, “meskipun”, “andai kata”, dan seumpama itu. Sebenarnya kata-kata hubung ini hadir dalam ayat pancangan keterangan dan la zimnya tidak berpasangan. Kata hubung jenis ini juga membawa maksud perten tangan. Contohnya, “Dia masih mahu pergi walaupun hari sudah lewat,” dan “Meskipun badannya letih, Ali tetap hadir di majlis itu.”

Dengan kata lain, kata hubung seperti “walaupun, meskipun” dan “andai kata” tidak sama kategorinya dengan kata hubung berpasangan yang dibincangkan di atas. Yang pertama ialah kata hubung keterangan, manakala yang kedua ialah kata hubung gabungan. Tentang “justeru” pula, perkataan ini dipinjam daripada bahasa Indonesia. Kadangkadang kita di Malaysia menggunakannya mengikut resam kita dan tidak seperti yang digunakan dalam bahasa itu.

“Justeru” membawa dua makna. Pertama, “justeru” bermakna kebetulan, tepat, kena benar. Contoh dalam ayat, seperti yang diberikan oleh Kamus Dewan ialah: Kenapa justeru sekarang ini engkau harus pergi?” Makna kedua ialah malahan, bahkan. Contoh dalam ayat: "Sekali-kali tidak pernah saya mencaci dia, justeru saya puji dia".

Di Malaysia kadang-kadang orang menggunakan “justeru” yang membawa makna seperti “oleh itu”, misalnya dalam ayat berikut: “Saya tidak bersetuju dengan pandangannya. Justeru, saya tidak menyokong cadangan itu.” Di sini “justeru” telah disamakan dengan ungkapan “oleh itu”, dan diberikan koma selepasnya. Ini tidak sama dengan dua makna yang dihuraikan di atas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan