Ahad, 15 Julai 2012

Pendekatan Komunikatif dalam Pengajaran Bertutur


Pendekatan Komunikatif
Pendekatan komunikatif cuba mengatasi masalah pengajaran bertutur yang terdapat dalam pendekatan situasi.   Melalui pendekatan ini, penguasaan kemahiran bertutur bukan sahaja meliputi penguasaan kemahiran kecil untuk menanggap, mengingati, menyebut sistem bunyi dan struktur dalam sesuatu bahasa, tetapi kemahiran ini juga merangkumi kebolehan untuk menggunakan unsur-unsur tersebut dengan tepat dan sempurna dalam sesuatu interaksi bahasa.  Hal ini bermakna, pendekatan komunikatif menegaskan bahawa kemahiran bertutur merangkumi kecekapan menggunakan unsur-unsur bahasa yang terkandung dalam kemahiran bertutur tersebut serta kecekapan berkomunikasi dalam sesuatu interaksi atau komunikasi bahasa. Untuk memastikan kemahiran bertutur itu bukan sahaja meliputi kecekapan bahasa tetapi juga kecekapan berkomunikasi, pendekatan komunikatif mencadangkan bahawa pengajaran bertutur mestilah berlandaskan prinsip-prinsip yang berikut:
(a)               Kemahiran bertutur melibatkan murid menguasai kecekapan berbahasa dan menggunakannya dalam konteks penggunaan bahasa yang sebenarnya.  Dengan demikian, kedua-dua kecekapan itu perlu diajarkan dalam pelajaran bertutur;
(b)             Guru perlu mendorong murid berinteraksi dengan rakan-rakan mereka. Oleh itu, komunikasi sebagai objektif kemahiran bertutur perlu menjadi objektif  dalam proses pengajaran dan pembelajaran guru dalam bilik darjah;
(c)              Pembelajaran kemahiran bertutur melibatkan proses kognitif.  Sehubungan dengan itu, guru perlu mendedahkan murid kepada pelbagai situasi formal dan tidak formal dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran mendengar dan bertutur. Dengan demikian, murid dapat menggunakan berbagai-bagai strategi komunikasi yang sesuai dengan situasi bertutur tersebut.  Pendedahan yang begini dapat melatih murid memikir dan menggunakan berbagai-bagai bentuk bahasa, bentuk paralinguistik dan bukan linguistik bagi menyampaikan mesej mereka dengan lebih berkesan;
(d)             Guru perlu membentuk hubungan yang positif antara dan dalam kalangan murid dengan guru. Dengan ini, terbentuklah persekitaran pembelajaran yang boleh mendorong murid untuk bertutur dengan lebih selesa, yakin dan berkesan; dan
(e)              Sesuatu aktiviti bertutur dapat terlaksana dengan lebih berjaya jika murid mempunyai pengalaman dan pengetahuan tentang perkara yang dibincangkan.  Dengan demikian guru perlu mendedahkan murid kepada pengalaman dan pengetahuan itu melalui alat bantu mengajar, lawatan, keratan akhbar, bahan bacaan dan bahan rakaman menjadi semakin perlu.
Pendekatan situasi mengutamakan ketepatan penggunaan unsur-unsur bahasa dalam pertuturan.  Dengan itu, aktiviti bertutur merupakan aktiviti latih tubi supaya murid dapat menyebut bunyi dan struktur bahasa dengan betul. Contohnya, menyebut sesuatu dialog atau karangan lisan sebagaimana yang berikut.

Wanita                    :      Pak cik, bil air boleh bayar di kaunter ini ke?
Kakitangan pos     :      Pak cik”?
Wanita                    :      (terdiam)
Kakitangan pos     :      Cik adik...umur saya ni baru 35 tahun, kenapa panggil pak cik?
Wanita                    :      Maafkan saya.  Tetapi bapa saudara saya yang bongsu    
                                        baru  berumur 30 tahun.  Dia pak cik saya.
Kakitangan pos     :      Lain kali panggil saya abang atau encik.  Saya berkahwin pun  
                                        belum.

Sebenarnya, terdapat persamaan pendekatan situasi dan komunikatif dalam pengajaran kemahiran bertutur.  Kedua-dua pendekatan ini menggambarkan dalam pengajaran kemahiran bertutur, guru perlu memberi latihan kepada murid-murid menggunakan unsur-bunyi bunyi dan struktur bahasa terlebih dahulu sebelum menyuruh murid melaksanakan sesuatu aktiviti melibatkan kemahiran bertutur.  Tanpa latihan daripada guru, murid-murid tidak akan dapat menguasai kemahiran bahasa: bertutur dengan menggunakan bahasa yang tepat dan berkesan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan